Jang4n Abaikan. Rebutlah Keberkatan Doa Pada 12 Waktu Mustajab Ini. Semoga Doa Dan Hajat Kalian Dikabulkan Oleh Allah. Amin

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

الدعاء هو العبــادة
“Doa adalah ibadah.”

Doa umumnya tidak bertempat dan tidak mempunyai ketetapan masa, boleh saja dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Namun lihatlah betapa Islam sangat mementingkan ketelitian dalam setiap perkara sehingga banyak ayat Al-Quran dan hadis berbicara tentang spesifikasi doa; tentang jenis-jenis doa, waktu yang disukai Allah untuk berdoa, tempat yang disukai dan sebagainya.

Bayangkan jika anda mempunyai anak, anda senang jika anak anda rajin belajar, namun anda akan lebih senang jika anak anda mendapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan.

Atau anda mempunyai kawan baik, anda suka jika dia membelanja anda makan, namun anda lebih suka jika dia membelanja makanan yang anda gemari.

Begitu juga dengan amal ibadah, ada baiknya kita memperelokkan setiap perlakuan kita dan melakukan yang terbaik sesuai kemampuan dan kudrat kita. Disebutkan dalam satu hadis :

Dari Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda;

”Sesungguhnya Allâh Azza wa Jalla berfirman, ’Barangsiapa memusuhi wali-Ku, sungguh Aku mengumumkan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada hal-hal yang Aku wajibkan kepadanya. Hamba-Ku tidak henti-hentinya mendekat kepada-Ku dengan ibadah-ibadah sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang ia gunakan untuk berbuat, dan menjadi kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Jika ia meminta kepada-Ku, Aku pasti memberinya. Dan jika ia meminta perlindungan kepadaku, Aku pasti melindunginya.’”

Kelengkapan hadis ini adalah:

وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِيْ عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ
Aku tidak pernah ragu-ragu terhadap sesuatu yang Aku kerjakan seperti keraguanku tentang pencabutan nyawa orang mukmin. Ia benci kematian dan Aku tidak suka menyusahkannya.Riwayat Imam Al-Bukhari

Maka mari kita lihat 12 waktu mustajab doa anda:

1. Pada Waktu Perang Sedang Berkecamuk Dan Pada Waktu Azan

“Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa pada saat azan dan doa tatkala perang berkecamuk”.Sunan Abu Daud, kitab Jihad 3/21 No. 2540. Sunan Baihaqi, bab Shalat Istisqa’ 3/360. Hakim dalam Mustadrak 1/189. Dishahihkan Imam Nawawi dalam Al-Adzkaar hal. 341. Dan Al-Albani dalam Ta’liq Alal Misykat 1/212 No. 672

Barangkali kita tidak merasakan keadaan perang seperti negara-negara saudara Islam kita yang lain sekarang, namun kita boleh mengambil manfaat daripada hadis ini bahawa doa juga boleh dilakukan ketika waktu azan.

2. Doa Antara Azan Dan Iqamah

Dari Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

“Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamah”.Sunan Abu Daud, kitab Shalat 1/144 No. 521. Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da’waat 13/87. Sunan Al-Baihaqi, kitab Shalat 1/410. Dishahihkan oleh Al-Albani, kitab Tamamul Minnah hal. 139

Doa juga tidak akan tertolak antara azan dan iqamah. Azan adalah suatu panggilan, maka seeloknya diamlah sejenak dan jawablah panggilan tersebut dengan bacaan-bacaan yang disarankan.

3. Suatu Saat Pada Hari Jumaat

“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidak bertepatan, seorang hamba muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut”.Shahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuh 3/5-6

Memetik catatan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dalam laman web nya;

Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari (11/203). Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai solat Jumaat atau sehingga selesai waktu solat asar bagi orang yang menunggu solat maghrib.

Maka hari Jumaat secara umumnya adalah hari yang penuh dengan barakah dan rahmah.

Keberkatan yang diturunkan meliputi sesiapa saja yang mengambil manfaat darinya. Jika keberkatan itu mampu dilihat pasti kita tidak akan mensia-siakan suatu saat pun pada hari Jumaat.

4. Ketika Terbangun Dari Tidur Pada Waktu Malam (Tidurnya Dalam Keadaan Bersuci)
Dari ‘Amr bin ‘Anbasah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

“Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya”.Sunan Ibnu Majah, bab Doa 2/352 No. 3924. Dishahihkan oleh Al-Mundziri 1/371 No. 595

Ketika badan sedang benar-benar selesa di tilam yang empuk, ditambah lagi dengan selimut yang tebal, mungkin agak sukar untuk kita bangun dari tidur. Namun, jika kita telah setkan minda sebelum tidur untuk bangun semula, tidur dalam keadaan bersuci, Insyaa Allah akan dipermudahkan niat kita untuk bangun dan mulakan awal pagi dengan berdoa.

5. Saat Sujud Dalam Solat

Dari Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

“Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan”.Riwayat Muslim, kitab Shalat bab Nahi An Qiratul Qur’an fi Ruku’ wa Sujud 2/48

Inilah saat kita merasakan benar-benar dekat dan mempunyai keterikatan yang kuat dengan Allah. Inilah saat kita mampu mendengar denyut dan hela nafas sendiri.

Ambillah peluang dan persembahkanlah keyakinan kita pada Allah ketika meminta dalam sujud. Sesungguhnya Allah itu ‘Al-Sami’ iaitu Yang Maha Mendengar!

6. Sepertiga Akhir Malam

Dari Abu Hurairah R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya”.Riwayat Al-Bukhari, kitab Da’awaat bab Doa Nisfullail 7/149-150

Ini antara waktu mustajab yang paling banyak diketahui oleh orang ramai, namun untuk melakukannya memerlukan disiplin dan kemahuan yang tinggi.

Saat dunia masih lagi tidur, tiada hiruk pikuk bunyi, segalanya gelap, bahkan alam semesta seakan sedang bertafakur memuji kebesaran Allah. Pada waktu ini, marilah kita berusaha untuk menjadikan kediaman-kediaman kita bercahaya dengan solat!

7. Setiap Selepas Solat Fardhu

Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah S.A.W ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah S.W.T, baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab.

“Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat fardhu”.Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da’awaat 13/30. Disahihkan oleh Al-Albani di dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi 3/167-168 No. 2782

Ada yang memilih untuk tidak berdoa selepas solat, namun untuk melakukannya juga bukanlah suatu kesalahan bahkan disebut dalam hadis ini. Hal ini seumpama kita menyempurnakan doa yang telah dilakukan dalam sujud lalu menutup solat kita dengan doa juga diakhirnya.

8. Ketika Hujan Sedang Turun

Dari Sahl bin a’ad R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda.

“Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan”.Mustadrak Hakim dan dishahihkan oleh Adz-Dzahabi 2/113-114. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami’ No. 3078

Imam An-Nawawi berkata bahawa;

“Penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim.Fathul Qadir 3/340

Dari Ummul Mukminin, ’Aisyah radhiyallahu ’anha;

“Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam ketika melihat turunnya hujan, beliau mengucapkan, ”Allahumma shoyyiban nafi’an” [Ya Allah turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat]”.Riwayat Bukhari no. 1032

9. Ketika Lailatul Qadr

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman;

“Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar”.Surah Al-Qadr:3-5

Imam As-Syaukani berkata bahawa;

“Kemuliaan Lailatul Qadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan.Tuhfatud Dzakirin hal.56

Peluang ini datang hanya setahun sekali. Walaupun begitu, kita boleh melatih diri seawal yang mungkin untuk melaksanakan solat pada waktu malam dan membiasakan diri dengan amalan-amalan sunat yang lain. Persediaan untuk mendapat keistimewaan Ramadan sudah boleh dimulakan dari sekarang!

10. Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa
Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash R.A bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak”.Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da’watuhu 1/321 No. 1775. Hakim dalam kitab Mustadrak 1/422. Dishahihkan sanadnya oleh Bushairi dalam Misbahuz Zujaj 2/17

Kita mungkin biasa mendengar saranan ini pada bulan puasa. Tazkirah-tazkirah dari TV atau radio kerap memperkatakan tentang doa pada saat berbuka.

Hal ini juga boleh dilakukan di luar bulan Ramadan, ketika berpuasa sunat contohnya. Usahlah mengabaikan waktu yang berkat untuk berdoa ini.

11. Ketika Dalam Perjalanan (Musafir)

Dari Abu Hurairah R.A bahwasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tiga orang yang doanya pasti terkabulkan ; doa orang yang teraniaya; doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya”Sunan Abu Daud, kitab Shalat bab Do’a bi Dhahril Ghaib 2/89. Sunan At-Tirmidzi, kitab Al-Bir bab Doaul Walidain 8/98-99. Musnad Ahmad 2/478. Dihasankan Al-Albani dalam Silsilah Shahihah No. 596

Kita pasti pernah bermusafir. Lebih-lebih lagi atas urusan pekerjaan, kerana ilmu, ataupun kerana urusan peribadi. Perjalanan musafir yang panjang selain ditemani lagu-lagu, boleh juga kita selitkan dengan bacaan doa. Ini peluang yang sangat bermakna jika kita manfaatkan dengan sebetulnya.

12. Ketika Saat Ajal Tiba

Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah S.A.W mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya) dan baginda mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu baginda memejamkannya kemudian bersabda;

“Sesungguhnya tatkala ruh dicabut, maka pandangan mata akan mengikutinya’. Baginda bersabda :’Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengamini apa yang kamu ucapkan”.Riwayat Muslim, kitab Janaiz 3/38

Hadis ini menceritakan peristiwa ketika Rasulullah menziarahi hari kewafatan sahabatnya dan Rasulullah menyarankan untuk berdoa tentang kebaikan.

Maka ketika kita menziarahi sanak saudara atau kenalan yang sedang tenat, doakanlah kebaikan buatnya dan buat umat Islam keseluruhannya kerana malaikat menyaksikan dan mengaminkan.

Sebuah doa yang baik, itulah pemberian terbaik yang mampu mengiringi mereka ke alam sana.

Kesimpulan

Doa adalah suatu hal yang mudah, namun memiliki kesan yang sangat besar. Lihatlah ketika Rasulullah menyuruh Umar Al-Khattab dan Ali Bin Abi Talib supaya meminta doa daripada Uwais al-Qarni apabila berjumpanya kelak kerana doanya yang sangat berkat.

Beliau mengabadikan hidup untuk berbakti kepada ibunya! Maka berdoalah dan perbaikilah amalan kita seiring doa yang kita pinta. Peliharalah doa dengan menjaga dan meneliti waktu-waktu yang disarankan, adab serta amalan diri kita.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*