Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang telah melihatku di dalam tidurnya ( mimpi) , maka ia sesungguhnya telah melihatku, kerana syaitan tidak (mampu) menyerupai gambaranku” ( Hadis Riwayat Bukhari, 1/52 dan Muslim, no 2266, 4/1775 )
Dalam hadis yang lain pula disebutkan :-
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang telah melihatku di dalam tidurnya (mimpi), maka ia sesungguhnya telah melihatku, kerana syaitan tidak (mampu) menyerupaiku, dan mimpi seorang mukmin adalah satu juzuk dari 46 juzuk dari kenabian” (Hadis Riwayat Bukhari, 6/2568)
Terdapat kisah benar telah berlaku pada hari Khamis 10 Ogos 2006 bersamaan 16 Rejab 1427 Hijrah ke atas seorang pelajar yang bernama Syamimi sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Gombak, Selangor. Nama Syamimi bermaksud ‘kesayanganku’.
Ayahnya meletakkan nama tersebut mengambil sempena nama gelaran puteri Rasulullah SAW iaitu Saidatina Fatimah az-Zahra semoga suatu hari nanti anaknya menjadi salah seorang mutiara kesayangan Rasulullah SAW. Alhamdulillah doanya dimakbulkan oleh Allah SWT selepas 23 tahun kelahiran anak sulung daripada 8 adik beradik.
Syamimi telah menghafal al-Quran 30 juzuk terpelihara kemas dalam hatinya. Beliau menghabiskan masa 3 tahun utk menghafal 30 juzuk Kalamullah ketika berada di negeri kelahirannya. Beliau hafal sendiri untuk memenuhi harapan ibu ayah yang mengharapkan ada dalam kalangan anak mereka menjadi seorang hafiz atau hafizah. Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab ini untuk menjadi contoh kepada adik-adik yang lain. Setiap hari beliau hafal dua mukasurat al-Quran dan tasmi’ dengan ustaz di sebelah rumahnya. Sekarang beliau pelajar tahun 4 jurusan Undang-Undang Syariah di universiti ini.
Sebelum bermimpi berjumpa Nabi SAW beliau memang diuji dengan sakit yang tidak tahu apa punca sejak lebih setahun yang lalu. Sakitnya rasa seperti ditikam-tikam dengan pisau di bahagian belakang tubuhnya, tambahan pula kaki yang sakit di bahagian lutut sejak 8 tahun lalu tidak pernah sembuh. Pernah satu ketika, selepas makan, beliau muntah bersama segumpal rambut dari kerongkongnya. Penderitaannya hanya Allah dan dia sendiri yang tahu. Sudah lama beliau tidak terdaya ke kelas kerana sakit itu membuatkan dia tidak dapat berdiri atau berjalan. Hilang selera makannya hingga badannya susut hampir 13 kg. Beliau hanya menggagahkan diri untuk pergi berwuduk dua hingga tiga kali sehari. Wuduk itu dijaga sebaik mungkin untuk ibadah sepanjang hari.
Hari-hari yang dilaluinya dipenuhi dengan membaca al-Quran dan qiamullail sebagai pendinding daripada gangguan yang berterusan menyakiti diri. Diceritakan makhluk-makhluk halus itu akan mengganggunya terutama pada waktu sebelum Subuh, Zuhur dan Maghrib. Beliau telah banyak berubat di merata tempat, berjumpa doktor-doktor pakar, malah ulama yang faqih dalam ilmu perubatan Islam serta akhir sekali bertemu seorang pensyarah di sini. Tapi beliau hanya mampu bertahan. Pesan ustaznya, setiap kali beliau sakit, banyakkan baca Surah Al-Baqarah.
Pagi Khamis itu, beliau berniat untuk hadir kuliyah sebab sudah terlalu lama tidak mampu ke kelas. Beliau bangun kira-kira jam 4.30 pagi untuk solat tahajud. Berbekalkan sedikit kekuatan yang digagahkan, beliau ke bilik air untuk berwuduk dengan memapah dinding dan segala apa yang mampu membantu beliau untuk berdiri. Habis berwuduk, beliau jatuh tersungkur, rasa seperti ada yg menolak keras dari belakang. Ketika itu beliau sudah tidak mampu berdiri, justeru beliau merangkak ke bilik. Sampai saja di bilik, beliau ketuk pintu dan rebah di depan bilik tersebut. Disebabkan sakit yang mungkin sudah tidak tertanggung, dengan spontan beliau niatkan, “Ya Allah, kiranya mati itu baik untukku, aku reda, tapi kiranya Engkau ingin aku terus hidup, aku ingin dengar kata-kata semangat daripada Rasulullah SAW sendiri..”
Kemudian beliau pengsan. Sahabat-sahabat sebilik mengangkat beliau ke dalam biliknya dan di baringkan di sana . Waktu itu, sahabat-sahabatnya telah pun ‘forward message’ pada rakan-rakan yang lain agar dibacakan surah Yasin kerana beliau nampak sudah nazak. Malah mereka telah sedia dengan nombor telefon ahli keluarganya untuk dihubungi kiranya ada apa-apa berlaku dengan izin Allah. Kira-kira jam 11 pagi itulah, ketika tertidur dengan tenang dalam waktu qoilullah, beliau bermimpi. Beliau sedang terbaring dalam keadaan memakai telekung dengan tangannya diqiam seperti dalam solat di suatu tempat asing yang sangat cantik. Beliau terbaring di sebelah mimbar dan kelihatan banyak tiang di sekitarnya.
Tiba-tiba datang seorang Hamba Allah dengan wajah yang bercahaya dari arah depan dan berdiri hampir sekali, kira-kira 2 meter dari beliau. Wajahnya Subhanallah..indah sekali, tidak dapat hendak digambarkan. Beliau tertanya-tanya, siapakah orang ini? Cantik sekali kejadiannya dan hati beliau rasa sangat tenang dengan hanya melihat wajahnya. Dirasakan seluruh kesengsaraan yang ditanggung selama ini lenyap begitu sahaja. Kemudian, Hamba Allah itu mengatakan, “Assalamualaikum, ana Rasulullah..” Subhanallah..baginda Nabi SAW rupanya! Nabi SAW memakai jubah putih dan kain serban berwarna hijau di atas bahu baginda. Beliau nampak dengan jelas mata baginda Nabi SAW, janggut baginda, rambut baginda, kain serban di atas bahu baginda dan tubuh baginda. Kemudian Nabi katakan “Enti fil masjidi” (kamu sekarang berada di masjidku, Masjid Nabawi).. Allahuakbar!
Kemudian baginda Nabi SAW. berkata: QalAllahuta’ ala; “InnaAllahama’ assobirin” (sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar). Ketika mendengar suara Nabi SAW mengalunkan Kalamullah, terasa bergema suara merdu Nabi di seluruh alam. Sememangnya baginda sebaik-baik kejadian dan diciptakan dengan penuh kesempurnaan. Nabi katakan (dalam lughahl arab, tp diterjemahkan di sini) ; “Ya Syamimi, dengan berkat kesabaran enti, dengan sakit yang enti tanggung selama ini, dan dengan berkat Al-Quran yang enti pelihara di dalam hati, maka Allah bukakan hijab untuk enti nampak ana..” Ketika Nabi menyebut Ya Syamimi, terlintas di hatinya “Ya Allah..baginda kenal ummatnya!”. Ya Rasulullah… Ketika itu, beliau dapat merasakan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah SWT, memberikan nikmat yang begitu besar buat dirinya.
Kemudian Nabi katakan lagi; “Sampaikan salamku buat sahabat-sahabat seperjuangan Islam. In syaa Allah, kita semua akan berjumpa nanti..” Nabi SAW. kemudian melafazkan; “Ummati.. ummati..ummati…” dan beliau nampak jelas Nabi SAW menangis saat itu. Beberapa titisan airmata baginda yang suci mengalir untuk ummat baginda! Kemudian baginda Nabi melangkah pergi. Beliau merintih, “Jangan pergi Ya Rasulullah..” tetapi baginda tetap pergi. Subhanallah, walaupun kita tidak pernah bersua dengan Nabi SAW yang mulia, baginda kenal dan sentiasa ingat akan ummatnya. Beliau sendiri tidak pasti, apakah baginda menangis kerana rindu kepada ummatnya, atau mungkin saja baginda sedih dengan ummat akhir zaman ini? wallahua’lam…
Sedar daripada tidur yang amat indah pengisiannya itu, beliau masih dikelilingi oleh rakan-rakan yang turut terdengar rintihan beliau dalam tidurnya “Jangan pergi Ya Rasululah…” Beliau kemudian menceritakan kepada sahabat-sahabat yang berada disekelilingnya tentang mimpinya sekaligus menyampaikan salam Rasulullah buat ummat baginda. Semua yang mendengar menangis lantaran rindu pada Nabi SAW. Rasa malu pada Nabi SAW kerana kita jarang-jarang ingat pada baginda sedangkan kita amat terhutang budi padanya. Lebih-lebih lagi kita sedar bahawa hanya syafaat bagindalah yang di harapkan di akhirat kelak.
Ya Allah..ketika itu, tiada kata yang lebih tinggi daripada kalimah Alhamdulillah untuk di rafakkan pada Allah atas nikmat yang begitu besar yang Allah berikan pada dirinya. Rasa tidak layak dirinya menerima anugerah dengan ujian yang hanya sedikit berbanding insan-insan yang lebih berat diuji oleh Allah SWT. Kiranya ada kalimah pujian yang lebih tinggi dari ‘Hamdalah’, pasti akan beliau sebutkan buat Allah Yang Maha Kaya. Semuanya terangkum dalam Rahmat-Nya yang melimpah ruah. Rasa sakit masih menular di tubuhnya. Cuma kali ini dia bertekad tidak akan menangis lagi untuk kesakitan ini.
Selepas solat Zuhur, rasa sakit yang ditanggung makin hebat. Tidak pernah beliau merasakan sakit yang sebegitu rupa. Terasa panas seluruh badan dan seluruh tubuhnya rasa ditikam pada setiap penjuru. Kalau dulu, beliau akan menangis dalam menghadapi kesakitan, namun pada waktu itu beliau pujuk diri untuk tidak menangis. “Apa sangatlah sakit yang aku tanggung ini berbanding nikmat yang Allah telah beri untuk melihat baginda Nabi SAW.”
Kemudian beliau tidur. Beliau terus rasakan berada di tempat tinggi, tempat yang biasa hadir sepanjang beliau menerima gangguan. Beliau katakan “Ya Allah, apa lagi yg hendak Engkau berikan buat hambamu yang hina ni, rasa malu sangat dengan-Mu Ya Allah…” Kemudian dengan izin Allah, datang empat orang yang berpakaian serba hijau. Salah seorang daripadanya mengatakan; “Assalamualaikum Ya Syamimi..Rasulullah SAW. sampaikan salam buatmu. Kami utusan Rasululah..Nahnu khulafa’ ar-rasyidin. Ana Abu Bakr, ini Ummar Al-Khattab, Uthman bin ‘Affan dan Ali..” Subhanallah..Saidina Abu Bakr memperkenal dirinya dan ketiga-tiga sahabat yang mulia. Beliau nampak sendiri, Saidina Abu Bakr yang amat lembut perwatakannya, Saidina Ummar dengan wajah tegasnya, Saidina Uthman yang cantik sekali dan Saidina ‘Ali yg agak kecil orangnya.
Para Sahabat mengatakan; “Kami diutuskan oleh baginda Nabi SAW untuk membantu enti..” Kemudian keempat-empat mereka membacakan ayat 102 surah Al-Baqarah yang bermaksud:
“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir, mereka mengajarkan sihir pada manusia dan apa yg diturunkan pada dua malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan, ’Sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kafir.’ Maka mereka mempelajari dari keduanya (malaikat itu) apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) dengan isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dengan sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak akan mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dengan sihir, sekiranya mereka tahu..”
Selesai membaca ayat itu, para sahabat Nabi SAW menghembus pada makhluk-makhluk yang sedang mengganggu beliau dan mereka semua hancur terbakar. Subhanallah..waktu itu terus terasa seolah-olah tubuhnya yang sakit dahulu ditukarkan Allah SWT. dengan tubuh yang baru. Hilang segala kesakitan yang setahun lebih ditanggung beliau dengan sabar. Saidina Abu Bakr mengatakan; “Inilah ganjaran besar dari Allah buat orang-orang yang sabar..” Kemudian, para sahabat Nabi SAW yang mulia pun pergi meninggalkannya.
Selesai mimpi indah yang kedua ini, beliau bangun dari tidur dan terus duduk. Rakan-rakan sebilik pelik, kenapa beliau dapat bangun dan duduk dengan mudah . Kemudian sahabat-sahabatnya itu menyuruh beliau bangun berdiri dan alhamduliLlah..dengan mudah beliau bangun berdiri dan berjalan di sekitar bilik. “Ya Allah, penyakit ana dah sembuh..” Semua sahabat yang ada di situ bergembira dan menangis. Kemudian beliau segera ke bilik air untuk berwuduk. Dengan tubuh yang ‘baru’, beliau sujud syukur pada Allah SWT “Ya Allah, kiranya di beri tempoh sujud 100 tahun pun belum dapat diriku menjadi hamba-Mu yang bersyukur atas nikmat yg telah Engkau berikan..”
Beliau berpesan pada kami; “Adik-adik, wajarlah para sahabat Nabi SAW yang mulia sanggup mati demi mempertahankan baginda. Akak yang diberi rezeki melihat Nabi tak sampai pun lima minit sudah rasa tidak sanggup berpisah dengannya. Kalau boleh, nak duduk je di bilik untuk beribadah pada Allah dan mengenang wajah Nabi yg mulia. Tapi menyedari banyak lagi taklifan dan tanggungjawab kita atas muka bumi Allah ini, maka hidup mesti diteruskan. Sekarang ini hati akak tenang sangat..kalau boleh, nak je akak pinjamkan hati ni walau hanya sesaat agar adik-adik dapat merasakan betapa beningnya hati ini. Tapi itu tidak mungkin kan , mungkin ini bahagian akak, bahagian kalian? Hanya Pemiliknya Yang Maha Tahu. Akhir sekali akak ingin katakan, tidak rugi kita bersabar…”
(Kisah ini dinukilkan oleh sahabat Syamimi hasil pengalaman benar yang telah dilalui oleh beliau bermimpi berjumpa Rasulullah SAW. pernah disebarkan melalui e-mel dan blog sebelum ini)
Petikan halaqah.net dan http://cikguarif.blogspot.com
Sahabat yang dikasihi, Sungguh terharu saya membaca kisah ini, kisah pengajaran bagaimana doa seorang mukmin yang bertakwa yang dizalimi kerana di sihir untuk bertemu Rasulullah SAW dikabulkan oleh Allah SWT. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT pulih penyakitnya kerana kesabarannya menaggung dugaan ini dan binasa jin-jin kafir dan syaitan yang mengganggunya.
Allah SWT berfirman maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah ayat 153)
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah ayat 155)
Berdasarkan ayat-ayat di atas Allah SWT menyeru kepada orang-orang beriman supaya menjadikan sabar dan solat itu sebagai penolongnya. Para ahli tafsir menyatakan bahawa suruhan ini adalah wajib kerana berbentuk suruhan kepada orang-orang mukmin. Jika orang mukmin meninggalkan sifat sabar dan meninggalkan solat maka ianya berdosa.
Leave a Reply