Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Sujud bermaksud meletakkan dahi di atas tempat sujud. Sujud adalah wajib di dalam solat. Tidak sah solat tanpa sujud. Sujud yang diwajibkan di dalam solat ialah dua kali pada setiap rakaat dengan diselangi oleh duduk.
Dalil kewajipan sujud ini ialah sabda Nabi s.a.w. (tatkala mengajar seorang lelaki yang salah dalam melakukan solat); “….Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk, kemudian kamu sujud kembali sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
1. Ketika hendak turun sujud, ucapkan takbir tanpa mengangkat tangan.
2. Ketika sujud, dua tangan hendaklah diletakkan di atas lantai setentang dengan bahu atau telinga, dahi dan hidung hendaklah diletakkan di atas tanah dengan menekannya. Dari Abu Humaid as-Sa’idi menceritakan; “Nabi tatkala sujud, baginda menekan hidung dan dahinya ke tanah, menjauhkan dua tangan dari rusuknya dan meletakkan dua tapak tangan setentang dua bahunya” (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Wail bin Hujrin r.a. (tatkala menceritakan sifat solat Nabi) beliau menceritakan; “….tatkala sujud, nabi meletakkan dua tangannya setentang dengan dua telinganya” (Riwayat Imam Ahmad).
3. Jari-jari dilepaskan menghala ke kiblat dalam keadaan dirapatkan antara satu sama lain. Wail bin Hujrin r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. tatkala ruku’ baginda merenggangkan antara jari-jarinya dan tatkala sujud baginda menghimpunnya (yakni merapatkannya)” (Riwayat al-Hakim).
4. Kedua-dua siku diangkat dari tanah (yakni jangan meratakannya di atas tanah) dan dijauhkan dari dua rusuk (yakni tidak merapatkannya ke rusuk). Sabda Nabi; “Apabila kamu sujud, letaklah dua tapak tanganmu di atas lantai dan angkatlah dua sikumu (yakni jangan menghamparnya di atas tanah)” (Riwayat Imam Muslim dari al-Barra’). Sabda Nabi s.a.w. juga; “Sempurnakanlah sujudmu.
Dan janganlah seseorang kamu menghamparkan dua tangannya (dari tangan hingga siku) seperti hamparan anjing (yakni; meletakkan kedua-dua tangan dan siku di atas tanah/lantai umpama anjing tidur)” (Riwayat Imam Muslim dari Anas r.a.).
Menjauhkan tangan dari rusuk adalah berdasarkan hadis at-Tirmizi tadi dan juga hadis dari Buhainah r.a. menceritakan; “Nabi semasa menunaikan solat tatkala sujud, baginda memisahkan antara dua tangannya (dari rusuknya) hingga nampak putih dua ketiaknya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim/Bulugul-Maram).
5. Jari-jari kaki hendaklah dilipatkan menghala ke arah kiblat. Abu Humaid as-Sa’idi r.a. tatkala menceritakan sifat solat Nabi s.a.w. beliau menjelaskan; “….Ketika sujud Nabi meletakkan kedua tangannya ke bumi tetapi lengannya tidak dihamparkan dan tidak pula dirapatkan ke rusuk dan hujung jari kakinya dihadapkan ke arah qiblat” (Riwayat Imam al-Bukhari).
6. Ketika melakukan sujud wajib tomaninah dengan pengertian yang telah diterangkan terdahulu.
7. Ketika sujud disunatkan membaca zikir-zikir yang warid dari Nabi terutamanya tasbih. Begitu juga digalakkan banyak berdoa ketika berada di dalam sujud. Sabda Nabi s.a.w.; “Sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud. Oleh demikian, perbanyakkanlah oleh kamu sekelian berdoa (ketika sujud)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
SESUNGGUHNYA ILMU YANG DIPEROLEH HARUS DIKONGSI BERSAMA
Leave a Reply