Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Satu Persatu, Permata Ummah Dijemput Menghadap Ilahi, “Dunia bagaikan kehilangan permata ummah yang tiada gantinya”
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami dikembalikan.”
Allahuakbar. Saban hari, semakin ramai alim ulama pergi meninggalkan kita. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan khabar duka atas pemergian Tuan Guru Haji Adam Bin Omar (Kuala Pilah, Negeri Sembilan) dan Tuan Guru Haji Ahmad Isa Bin Haji Yahya (Gerik, Perak). Kedua-keduanya merupakan ulama yang sangat faqih dan luas pengetahuannya dalam ilmu agama.
Kehilangan mereka bukanlah kehilangan yang biasa, tetapi ia sungguh memberi kesan buat kita semua. Dunia bagaikan kehilangan permata ummah yang tiada gantinya. Bahkan Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kem4tian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu, orang ramai melantik ketua-ketua mereka dalam kalangan orang yang j4hil dan apabila mereka ditanya, mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka, mereka sesat lagi meny3satkan.”
(HR al-Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
Latar Belakang Tuan Guru Haji Adam bin Haji Omar (Kuala Pilah)
Tuan Guru Haji Adam bin Omar berasal dari Negeri Sembilan. Beliau dilahirkan pada 19 September 1923 dan merupakan anak jati Kuala Pilah. Sepanjang hayatnya, beliau telah berkhidmat sebagai Imam Masjid Kariah Kg Parit atau nama lainnya Masjid Ranjau Hantu yang terletak di dalam daerah Kuala Pilah.
Khidmat beliau di situ bermula sejak tahun 1960 sehinggalah tahun 2012, dan ini bermaksud beliau menjadi imam di masjid tersebut selama 52 tahun. Bukan itu sahaja, Tuan Guru Haji Adam juga merupakan tenaga pengajar al-Quran dan ilmu fardhu Ain di kawasan sekitar tempat tinggalnya.
Antara kitab yang digunakan ialah Risalah Tauhid, Penawar bagi hati, I’tiqad ahli Sunnah Wal Jamaah, Mustika Hadis dan banyak lagi. Pada waktu hujung minggu, ramai anak-anak murid datang belajar dan bertalaqi kitab dengan beliau. Ada antara mereka yang datang dari Putrajaya, Kuala Lumpur dan Seremban.
Selama khidmatnya menjadi imam, Tuan Guru Haji Adam beliau telah dianugerahkan beberapa penghargaan iaitu:
- Anugerah Khas Imam Daerah Kuala Pilah pada tahun 2006
- Anugerah Khas Imam Peringkat Negeri tahun 2013
- Tokoh Khas Imam sempena Maal Hijrah peringkat Daerah Kuala Pilah pada 2013.
Setelah persaraannya sebagai seorang imam, beliau berhasratnya untuk meneruskan legasi keilmuannya dengan menubuhkan sebuah pusat pengajian yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat di Kuala Pilah. Niat dan hajat tersebut berusaha direalisasikan oleh anak-anaknya dan mereka telah membangunkan sebuah madrasah di tanah milik anak lelakinya, Haji Abd Manan dan telah diberi nama Madrasah Umdatul Salik.
Tanah yang berkeluasan 2 ekar di Ulu Gentam, Kuala Pilah itu sudah mula dibangunkan pada awal tahun 2019 hasil daripada sumbangan masyarakat. Pada awal Julai lalu , pembinaan surau telah dilakukan dan dijangka siap penghujung tahun 2020. Alhamdulillah.
Latar Belakang Tuan Guru Haji Isa bin Haji Yahaya (Gerik)
Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Ahmad Isa Bin Haji Yahya dan beliau dilahirkan sekitar tahun 1917. Ketika hayatnya beliau menabur jasa dan berbakti di kawasan Gerik, Perak. Allahyarham Tuan Guru mendapat pendidikan awal di pondok sekitar Patani di antaranya Pondok Dala sebelum berangkat ke Mekah dalam usia 19 tahun.
Selepas pulang dari Mekah, beliau belajar semula di Patani dengan memasuki Pondok Mak Enggol. Selain daripada itu, beliau juga sempat melazimi dan berguru dengan Tuan Guru Haji Saad Mogoi dan Tuan Guru Haji Yahya Kupang. Di antara guru-gurunya ialah :
- Tok Dala al-Fathani
- Tuan Guru Haji Hassan Mak Enggol
- Tuan Guru Haji Yahya Kupang
- Tuan Guru Haji Saad Mogoi
- Pak Da Eil Mekah
- Syeikh Abdul Qadir al-Mandili
- Sayyid Alwi Bin Abbas al-Maliki
- Sayyid Muhammad Amin al-Kutbi
- Syeikh Haji Abdul Rahim al-Kalantani
- Cher Pak Ya al-Ramani
- Tuan Guru Haji Abdul Ghani Bentong
Beliau pernah berbaiah Tariqat Syatariyyah dengan Pak Da Eil Mekah dan menerima amalan dalam Kitab Dala’il Khoirot daripada seorang ulama’ yang berasal dari Patani. Tuan Guru Haji Isa Gerik merupakan diantara orang yang terawal ke Mekah. Beliau bersahabat baik dengan Tuan Guru Haji Salleh Musa Sik dan Syeikh Toyyib al-Makki.
Beliau pernah mendirikan sebuah pondok di Betong bersama adiknya, Tuan Guru Haji Abdul Karim Bin Yahya dan iparnya, Tuan Guru Baba Man Bentong pada tahun 1977 dengan nama Pondok Darussa’adah di Cabang Tiga, Ramong, Betong, Jala. Namun pondok ini hanya sempat beroperasi selama 4 tahun sahaja sebelum diarahkan tutup oleh pihak berkuasa Thailand.
Tuan Guru yang lebih mesra dengan panggilan Tok Ayah disifatkan sebagai seorang ulama’ yang sangat tawaduk dan wara’. Waktu sihatnya, beliau tidak pernah tinggal solat berjemaah di Masjid Gerik. Beliau juga mengajar di masjid berkenaan dalam pelbagai bidang ilmu khususnya usuluddin. Solat terawihnya 20 rakaat dari muda sehingga uzur. Suatu hari ketika ditanya bagaimana nak khusyuk dalam solat? Beliau menjawab “hat ni la yang buat saya menangis malam-malam.” Allah sungguh tawadhuk beliau.
Khabar duka pada hari ini apabila Tok Ayah Isa telah dipanggil pulang oleh ilahi pada petang 27 Januari 2022 dalam usia ±104 tahun. Jenazahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik.
(Sumber: Ustaz Tengku Yusuf dan Madrasah Umdatus Salik)
SAHABAT,
Mari bersama kita mendoakan agar Allahyarham dan seluruh umat Islam yang telah kembali kepada Yang Maha Pencipta mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. 🤲🏻
اَللهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهُ وَاعْفُ عَنْهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah, rahmatilah, kurniakanlah kesejahteraan dan ampunkanlah mereka berdua.”
وَاَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرْدِ وَنَقِّهُ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلاَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ
Maksudnya: “Dan muliakanlah kedatangan mereka berdua, luaskanlah tempat mereka. Mandikanlah mereka dengan air salji lagi sejuk. Bersihkanlah mereka dari segala kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan baju putih dari kotoran.”
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ قُبْرَهُ رَوْضَةً مِنْ رِيَاضِ الجِنَانِ، وَلَا تَجْعَلْ قُبْرَهُ حُفْرَةً مِنْ حُفَرِ النِّيْرَانِ
Maksudnya : “Ya Allah, jadikanlah kubur mereka salah satu daripada taman-taman syurga-Mu. Dan janganlah Engkau jadikan kubur mereka sebagai kawah daripada kawah neraka.”
Semoga keluarga Allahyarham terus tabah dan redha menerima ketetapan Allah SWT. Mudah-mudahan kita semua bersatu kembali di syurga Allah SWT.
Sumber: ASMA’ BINTI HARUN
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Ambil Tahu Dot Com
Leave a Reply