Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Anak bongsu setia jaga ibu bapa sampai hujung usia, tinggal kerjaya demi kasih hingga ke syurga… Bakal tunang setia di sisi
Alangkah bertuahnya ibu bapa jika mempunyai anak yang sanggup berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman untuk berbakti ketika mereka sedang sakit.
Mungkin bagi sesetengah individu, agak sukar untuk melepaskan kerjaya demi ibu bapa, tetapi tidak bagi seorang pemuda ini.
Bukan untuk sebulan dua sebaliknya dia mengambil keputusan untuk terus pulang ke kampung halaman bagi menjaga bapanya yang terlantar akibat diserang strok sehinggalah insan kesayangannya menghembuskan nafas terakhir, tanggal 1 Ramadan lalu.
Video wajahnya yang muram dan sugul ketika menghantar arwah bapa ke ‘destinasi terakhir’ sebagaimana yang dikongsikan di media sosial, nyata turut meruntun jiwa netizen.
Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Noorfatihah Muslim berkata, pemuda dalam video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya adalah bakal tunangnya, Abdul Aliff Abdullah.
“Video tersebut dirakam ketika hari pengebumian arwah bapanya pada 1 Ramadan lalu. Aliff adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan satu-satunya anak lelaki. Jadi dia merasakan tanggungjawab terhadap ibu bapa terpikul pada bahunya.
“Sebenarnya dia menjaga ayahnya sejak arwah jatuh sakit tahun lalu. Ketika itu dia kerja sebagai juru elektrik untuk sebuah syarikat di Ajil. Memandangkan kebetulan kontraknya tamat, dia terus ambil keputusan pulang ke kampung di Pulau Duyong, Terengganu.
“Sepanjang menjaga arwah, semua dia buat daripada A hingga Z. Dua kakaknya sudah berkahwin, manakala ibunya juga sudah meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu,” ujarnya.
Aliff sanggup menolak tawaran pekerjaan kerana mahu menjaga ayahnya yang terlantar akibat strok.
Senang disapa sebagai Fatihah, wanita berusia 24 tahun ini berkata bakal tunangnya tidak sanggup untuk meninggalkan bapanya terlantar keseorangan di rumah sekiranya dia mahu keluar mencari kerja.
“Dalam tempoh itu juga, dia menerima tawaran untuk menyambung kembali kontrak sebagai juru elektrik di syarikat sama namun dia menolak sebab mahu tumpukan perhatian menjaga ayah.
“Justeru, dia hanya ambil upah gunting rambut orang kampung dan orang terdekat. Itupun di atas tangga di rumahnya, sebab dia tak mahu tinggalkan bapanya keseorangan.
“Kalau dia nak jumpa kawan-kawan atau bersukan, dia akan pastikan lampin bapanya ditukar terlebih dahulu, sudah bersih dan sudah makan. Paling lama dia akan keluar pun dua jam.
Gambar kenangan arwah ibu dan bapa Aliff.
“Kami sendiri pun jarang bertemu kecuali apabila ada hal tertentu dia minta bantuan untuk hantarkan ayahnya ke hospital. Saya sangat memahami situasinya… tapi sesibuk mana pun, dia tetap luangkan masa untuk hubungi saya walau seminit,” katanya yang bekerja sebagai penasihat jualan Proton di Kuala Terengganu.
Bercerita lebih lanjut, Fatihah berkata bakal tunangnya sebelum ini turut melakukan perkara yang sama ketika arwah ibunya terlantar sakit buah pinggang..
“Sebelum ‘pergi’, ibunya berpesan supaya jaga ayah elok-elok. Sebab itu apabila arwah ayahnya sakit tahun lalu, dia sanggup balik kampung sebab berpegang kepada kata-kata arwah ibunya,” cerita Fatihah.
“Dia la yang melakukan semua tugas menjaga arwah ibu dan berulang alik dari kampus ke rumah sebab ketika itu dia masih menyambung pengajian peringkat diploma.
Pernah juga dia tanya, kenapa saya tak pergi cari lelaki lain yang lebih stabil, yang boleh luangkan masa selalu. SITI NOORFATIHAH MUSLIM
Sebagai salah seorang insan yang rapat dengan bakal tunangnya, Fatihah menyifatkan lelaki tersebut sebagai anak yang bertanggungjawab dan diibaratkan ‘satu dalam sejuta’.
“Dia selalu juga meluahkan rasa kenapa begitu hebat diuji. Dia pernah kata, kawan-kawan sebaya semua dah berkerjaya dan berkeluarga sedangkan dia jauh ketinggalan sedangkan usia dah 29 tahun.
“Saya dah lama berkawan dengannya, saya melihat sendiri pengorbanannya sebagai seorang anak dan menyaksikan bagaimana dia menghadapi saat ‘down’ apabila hilang dua insan tersayang.
“Pernah juga dia tanya, kenapa saya tak pergi cari lelaki lain yang lebih stabil, yang boleh luangkan masa selalu. Tapi saya jawab, duit boleh cari, tapi insan yang hatinya tulus sukar dicari.
Fatihah sentiasa berada di sisi dan memberikan semangat kepada Aliff selepas kedua-dua ibu bapa lelaki itu meninggal dunia.
“Jadi apabila dia down, saya hanya mampu suruh dia berdoa, bersolat dan kongsi video-video motivasi mengenai betapa besar ganjaran menjaga ibu bapa,” ceritanya.
Tidak menyangka perkongsian video di aplikasi TikTok meraih sehingga melebihi 248,000 jumlah tontonan, Fatihah berkata dia sekadar mahu mengabadikannya sebagai kenangan.
“Dia pun terharu apabila membaca komen netizen yang doakannya. Aliff kini masih ambil upah gunting rambut sambil sedang menunggu jawapan untuk temuduga menyertai pasukan bomba. Mungkin asbab doa-doa ini, mana tahu rezekinya semakin dipermudahkan.
“Kepada yang lain, ambillah peluang jaga mak ayah selagi diberikan kesempatan masa,” akhirinya.
Sumber: mStar via myinfokerja
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Ambil Tahu Dot Com
Leave a Reply