4 Tips Bijak Membahagikan Masa Antara Kerja Dan Ibadah

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

4 Tips Bijak Membahagikan Masa Antara Kerja Dan Ibadah

Akhir ini ramai antara kita yang mempunyai jadual harian yang begitu padat. Hingga pada suatu saat kita benar-benar mempunyai waktu hanya untuk menunaikan ibadah fardhu. Itu pun sebilangan besar dilakukan hampir di akhir waktu.

Jadi di dalam hidup yang serba canggih dan moden ini, janganlah pula kita mengabaikan amal ibadah yang mampu memberi nilai tambah untuk kehidupan akhirat kita kelak.

Ketahui 4 tip yang boleh anda lakukan agar dapat membahagikan masa dengan baik dalam tugasan dunia dan pada masa yang sama tetap membuat saham akhirat secara berterusan.

1 -Lakarkan Jadual Mingguan

Setiap daripada kita mempunyai berbagai komitmen pada setiap hari dan hampir setiap masa. Sehinggakan ada masanya kita sendiri tidak mempunyai masa untuk diri sendiri.

24 jam sehari bagaikan 24 minit terutama kepada mereka yang berkeluarga dan bekerjaya. Namun itu semua bukan halangan untuk kita berterusan mengamalkan rutin yang sama tanpa sebarang penambahbaikkan.

Bagi memastikan setiap hari yang kita lalui tersusun dan mempunyai perancangan yang jelas untuk dicapai pada setiap hari, anda perlu melakarkan jadual secara mingguan. Ini bermakna anda akan mempunyai 4 jadual yang berbeza isi kandungannya dalam masa sebulan.

Dengan menghasilkan satu jadual bagi setiap minggu, anda akan dapat merancang aktiviti harian dengan lebih teratur dan jelas. Selain itu juga jika berlaku sebarang perubahan di dalam minggu berikutnya, anda masih dapat mengubah jadual anda mengikut kesesuaian masa.

Berdasarkan pengalaman saya, saya lebih selesa melakarkan jadual pada minggu pertama sepenuhnya dan menandakan tarikh-tarikh tertentu berdasarkan jadual bulanan saya. Kemudian saya akan mula melakar ke minggu kedua dan seterusnya.

Alhamdulilah, ianya berkesan dan akan memastikan pada setiap hari akan ada perkara yang bermanfaat yang saya lakukan dalam ibadah. Sama ada secara berkala seperti membaca 1 hadis sehari dan yang saya ‘wajibkan’ buat diri sendiri.

2 -Tetapkan Matlamat Secara Mingguan

Pasti ramai di antara anda yang memegang tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa, suami atau isteri dan juga pekerja atau pelajar sekaligus pada masa yang sama. Oleh itu tidak dinafikan betapa padatnya jadual harian anda.

Bagi memastikan agar setiap hari yang berlalu bermanfaat bukan sekadar dengan urusan dunia, tetapi juga akhirat maka anda disarankan agar menetapkan satu matlamat mingguan.

Tidak perlu matlamat yang terlalu berat. Pastikan ianya sesuatu yang dapat anda capai dalam masa seminggu di dalam kesibukan anda itu.

Sebagai contoh, matlamat mingguan saya pada Januari 2018 adalah untuk menghafal makna 10 ayat pertama bagi Surah Al-Kahfi. Ianya sudah memandai asalkan anda tahu kemampuan anda.

Mengapa hanya satu matlamat dalam seminggu? Agar kita tidak terlalu tertekan dan merasa santai setiap kali kita membaca lakaran jadual kita.

Sudah menjadi adat manusia ini bersifat tergesa-gesa dalam berbagai perkara yang dilakukan. Saya yakin ramai yang mahukan yang terbaik untuk diri sendiri.

Namun apa yang penting jangan kita jadikan matlamat itu kelak hanya tinggal matlamat, namun jadikan ianya realiti yang berterusan untuk dilaksanakan.

“Manusia diciptakan (bersifat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perlihatkan kepadamu tanda-tanda kekuasaan-KU. Maka janganlah kamu meminta Aku menyegerakannya” Surah Al-Anbiya’:37

Kita akan mula rasa terbeban apabila kita meletakkan banyak matlamat untuk dicapai dalam limitasi masa yang terhad. Ditambah dengan kepenatan tubuh badan setelah seharian bekerja dan belajar.

Pengakhirannya kita mungkin sukar untuk mencapat matlamat tersebut walaupun satu daripadanya. Jadi adalah lebih baik sedikit asalkan matlamat tersebut jelas dan mudah untuk kita capai.

3 -Ketahui Keutamaan Anda

Saya percaya ramai di antara anda mempunyai satu tugasan yang jelas pada setiap hari sama ada di rumah, tempat kerja atau universiti. Namun apa yang perlu diberi perhatian di sini adalah pengurusan masa kita dalam menyelesaikan tugasan utama tersebut.

Sebagai contoh sekiranya pada hari ini kita telah tetapkan dalam jadual untuk menaip 3 muka surat esei. Maka, pastikan ianya dilaksanakan di awal pagi. Hal ini bagi memastikan tanggungjawab kita sebagai pelajar pada hari itu telah dilaksanakan dengan baik.

Kemudian barulah kita lihat apa keutamaan yang lain di dalam ibadah pula selain daripada solat 5 waktu sehari semalam. Antaranya solat dhuha 2 rakaat sebaik selesai menyiapkan esei.

Atau kita juga boleh melakukan solat Tahajud 1 jam sebelum waktu Subuh bermula dan menyelesaikan esei kemudiannya. Anda digalakkan untuk bekerja mengikut kesesuaian dan kemampuan sendiri.

Dengan cara mengetahui apa keutamaan tugasan harian kita, setiap lakaran di jadual insha Allah dapat kita lakukan dengan baik.

Akhirnya di penghujung hari kita akan dapat berbangga dengan kejayaan diri sendiri dengan melakukan tugasan hakiki di dunia dan ibadah tambahan untuk akhirat.

“Dan pada sebahagian malam hari, solat Tahajudlah kamu sebagai suatu Ibadah tambahan bagimu; mudah mudahan Tuhan mengangkatmu ke tempat yang terpuji” Surah Al Isra’:79

4 -Sediakan Jurnal Kejayaan Di Akhir Minggu

Kita akan lebih bersemangat dengan setiap perkara yang dilakukan apabila melihat hasilnya di depan mata. Langkah yang terakhir adalah dengan menulis satu jurnal kejayaan di setiap minggu.

Anda boleh meringkaskannya dalam 1 muka surat, 1 perenggan atau 1 ayat. Terpulang pada anda bagaimana mahu menulisnya asalkan ianya adalah jurnal ringkas yang menceritakan usaha keras anda dalam menjadikan diri sendiri produktif ketika menyelesaikan tugasan harian.

Tanamkan ingatan bahawa setiap ibadah tambahan yang kita lakukan sebenarnya adalah nilai tambah kepada diri kita sendiri bagi kehidupan akhirat yang kekal abadi.

“There are three constants in life…change, choice and principles.”
Stephen Covey

Kesimpulannya, pastikan setiap perkara yang kita lakukan disertakan niat kerana Allah dengan tujuan untuk memperbaiki diri. Motivasi diri anda sendiri untuk sentiasa berusaha menjadi lebih baik dari sebelumnya dan pohonlah agar diberi kekuatan oleh-Nya.

Sedikit demi sedikit, hari demi hari, berterusan. Semoga kita akan termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang diredhai.

“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka sesiapa pun tidak akan rugi walau sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun, pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan,” Surah Al- Anbiya’:47

Sumber: Tazkirah.net

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Ambil Tahu Dot Com

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik, tauladan dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*