Zaman dah maju, tak sangka lelaki ini masih setia di pondok… masak guna dapur kayu!

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

Zaman dah maju, tak sangka lelaki ini masih setia di pondok… masak guna dapur kayu!

WARISAN turun temurun sewajarnya dipelihara dan dipulihara supaya dapat diketahui generasi akan datang.

Bimbang tradisi nenek moyang dahulu dilupakan begitu sahaja, Jefri Mejan, 43, mewujudkan sebuah pondok yang dilengkapi dapur kayu dan perkakasan klasik, bersebelahan rumahnya di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya Selangor sejak enam tahun lepas.

Dia juga menjadikan pondok kecil itu sebagai tempat berkumpul dan beristirehat bersama ahli keluarga persis kehidupan generasi terdahulu.

Menerusi beberapa siri video yang dihasilkan, Jefri bukan hanya menunjukkan skil memasak menggunakan dapur kayu, malah dia turut berkongsi tip masakan arwah neneknya dan cara makan masyarakat dulu kala yang menggunakan talam.

Malah videonya membuat nasi impit secara tradisional mendapat lebih 1.1 juta tontonan di samping 43,900 tanda suka.

Menceritakan tujuannya memuat naik video seperti itu, ujar Jefri, idea tercetus selepas anaknya menunjukkan video-video di aplikasi TikTok.

“Mula-mula saya tak minat pun… tapi bila anak-anak suruh saya kongsikan video agar dapat diketahui generasi baru, selain orang-orang lama agar dapat mengimbau kenangan masa lalu. Selepas itu baru anak-anak buka akaun TikTok untuk saya.

“Ia tidak lain tidak bukan untuk berkongsi pengalaman dengan orang luar tentang cara masak guna dapur kayu sebelum adanya dapur minyak tanah, dapur gas seperti sekarang ni.

“Jadi bila saya mula kenal dengan TikTok ni… rupa-rupanya macam-macam ilmu-ilmu bermanfaat ada dalam tu,” ujarnya sambil memaklumkan akaun tersebut dicipta anak keduanya, Nurul Izzah,14 tahun.

Bercerita lanjut tentang tujuan asalnya itu, Jefri yang juga bekerja sendiri, memaklumkan ia bagi mengangkat kembali corak kehidupan masyarakat terdahulu sekali gus mengelakkan tradisi nenek moyang luput ditelan zaman.

“Mahu memastikan tradisi ini tidak hilang dibawa arus kemodenan telah mendorong saya untuk menghasilkan video seumpama ini.

“Saya juga mempunyai minat mendalam dengan tradisi lama dan ia mendapat sokongan ahli keluarga,” katanya yang turut mengharapkan apa yang telah diusahakan itu akan diteruskan selamanya.

Menurutnya lagi, kehidupan yang diterapkan masyarakat terdahulu adalah yang terbaik kerana seluruh ahli keluarga akan terlibat dalam apa jua aktiviti sebagai contoh ketika memasak, keempat-empat anaknya akan membantu seolah-olah sedang bergotong-royong.

Katanya yang mahir memasak hidangan rendang, setiap yang dilakukan itu akan meninggalkan memori indah seperti mana dia mengingati nostalgia menggunakan dapur kayu neneknya.

“Sebab apa saya suka masak guna dapur kayu? Saya rasakan ada ketenangan dan aromanya lain pada masa sama mengimbau nostalgia lama bersama-sama dengan arwah nenek.

“Ia adalah memori keluarga kami sebelum ini, masak menggunakan dapur kayu,” luahnya sayu sambil menyatakan dapur yang digunakan neneknya suatu ketika dulu sudah musnah.

Jefri memberitahu, kenangan dapur kayu yang sering digunakan neneknya dahulu mempunyai banyak kisah manis dan menarik.

Katanya, hidangan yang dimasak menggunakan dapur kayu itu akan lebih sedap selain mempunyai bau aroma asap.

Dalam pada itu, Jefri memaklumkan bahawa dia tidak kekok untuk memasak di dapur kayu kerana sudah biasa membantu ibunya masak dan dia merupakan anak sulung.

Tambahnya yang memang meminati suasana klasik, dia sentiasa mengamalkan minum air beras sangai setiap hari bagi membantu pencernaan selain menyejukkan badan.

sumber ;mstar

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Ambil Tahu Dot Com

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik, tauladan dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*