Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Kisah kucing pertama dihantar ke angkasa lepas demi kemajuan umat manusia tetapi hidupnya sendiri berakhir tragis
Persaingan menghantar manusia dan haiwan ke angkasa lepas ketika Perang Dingin, pada era 1950-an dan 60-an turut membabitkan negara Perancis, selain kuasa besar Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet (Rusia).
Perancis pada masa itu turut tidak mahu ketinggalan untuk menghantar ‘angkasawan’ mereka sendiri yang bernama Felicette.
Felicette bukan angkawasan biasa tetapi dia adalah kucing pertama di dunia yang dihantar ke angkasa lepas dengan berat hanya 2.5 kilogram.
Asalnya Felicette merupakan kucing jalanan terbiar yang dilatih untuk dihantar ke angkasa lepas, tetapi sumbangannya membantu kajian umat manusia demi perkembangan sains dan teknologi angkasa lepas tidak mendapat pengakhiran yang menggembirakan.
Sebagai kucing angkasa pertama dan satu-satunya dalam sejarah manusia, Felicette telah dilupakan selama beberapa dekad.
Walaupun kemudian Felicette akhirnya mendapat penghormatan yang sepatutnya, pengakhiran hidupnya yang tragis telah dibangkitkan kembali ke mata umum.
Semuanya bermula apabila Perancis membuat pelaburan yang tinggi dalam program angkasa lepas pada akhir 1950-an di bawah doktrin De Gaulle, dan negara itu bermimpi untuk menghantar angkasawan Perancis pertama ke angkasa lepas dengan menggunakan roket berteknologi Perancis.
Selepas Perancis berjaya menghantar tikus bernama Hector ke angkasa pada Februari 1961, ia secara rasmi menjadi negara ketiga selepas Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat, menghantar haiwan ke angkasa lepas. Kesatuan Soviet berjaya menghantar Laika, seekor anjing, manakala Amerika Syarikat berjaya menghantar Ham, seekor cimpanzi.
Saintis Perancis kemudian dengan segera memindahkan objek penyelidikan mereka daripada tikus kepada haiwan comel, kucing.
Untuk pengetahuan, matlamat utama haiwan dihantar ke angkasa lepas adalah untuk memahami kesan penerbangan angkasa lepas terhadap psikologi manusia.
Sebelum ini, kucing telah banyak digunakan untuk kajian neurofisiologi atau kajian saraf, jadi adalah munasabah apabila haiwan lebih besar digunakan untuk lebih difahami oleh para saintis.
Pada tahun 1963, kucing jalanan betina Felicette yang ketika itu tidak dinamakan telah ditangkap oleh pengedar kucing dan telah dijual kepada Pusat Penyelidikan Perubatan Aeronautik Perancis bersama-sama dengan 13 kucing betina lain pada tahun yang sama, dan mereka menerima kod percubaan C341.
Juga sebab mengapa saintis memilih kucing betina juga sangat mudah, kerana kucing betina ringan dan jinak, dan merupakan haiwan eksperimen bersaiz kecil dan sederhana paling ideal.
Felicette dan rakan-rakannya telah dipilih sebagai ‘kucing pertama’ program angkasa lepas Perancis. Mereka melengkapkan eksperimen nadi elektrik dengan 9 elektrod yang ditanam di dalam badan mereka, serta didedahkan dengan bunyi roket yang kuat serta pelbagai latihan selama beberapa bulan.
Felicette akhirnya terpilih menjadi angkasawan daripada enam calon akhir kerana dia berjaya mengekalkan berat badan, sentiasa tenang dan mudah dikendalikan.
Salah seekor lagi kucing yang melakukan ujian yang sama telah terbunuh akibat kepanasan melampau dalam kapsul angkasa dan gagal menjadi kucing angkasawan bersama Felicette.
Felicette telah dihantar dalam misi angkasa lepas pada julung kalinya buat seekor kucing menggunakan roket Veronique AG1 yang dilancarkan pada 18 Oktober 1963 tepat jam 8.09 pagi.
Roket itu berjaya terbang menghampiri jarak 157 kilometer, dan Felicette berada di ruang angkasa lepas selama 15 minit.
Kemudian Felicette berjaya kembali hidup-hidup ke bumi sebagai wira Perancis.
Kucing Felicette kemudian telah digelar sebagai ‘Astrocat’ oleh Perancis.
Media Perancis sejak mula telah tersalah menamakan kucing angkasa lepas itu sebagai ‘Felix’ berdasarkan kartun popular ‘Felix The Cat’. Setelah mengetahui dia sebenarnya kucing betina, mereka baru mengubahnya kepada panggilan asal Felicette.
Malahan, kerajaan Perancis juga turut melakukan kesilapan apabila mengeluarkan setem untuk memperingati jasa Felicette, tetapi pihak mereka mencetaknya dengan nama Felix kerana menyangka ia adalah kucing jantan.
Malang juga pada akhirnya, saat kegemilangan Felicette tidak pernah bertahan lama. Tidak lama selepas kembali ke bumi, para saintis mematikan kucing ini supaya mereka boleh mengkaji otaknya.
Felicette hilang begitu sahaja tanpa jejak dan semakin dilupakan. Dan Perancis juga tidak pernah menghantar manusia ke angkasa lepas.
Selepas hampir lebih 50 tahun dilupakan, seorang lelaki bernama Matthew Serge Guy memulakan kempen untuk misi pengebumian terhormat Felicette pada tahun 2017.
Matthew berjaya mengumpul dana AS$57,000 untuk membina tugu peringatan kucing angkasa lepas pertama Felicette di Universiti Angkasa Antarabangsa di Strasbourg, Perancis.
Malahan, Universiti Toulouse III juga mengumumkan akan menamakan balai cerap mereka dengan nama Felicette dan logo ‘Astrocat’ pada tahun 2023.
Pada hari ini, Felicette telah mendapat penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya, dan seluruh rakyat Perancis amat berbangga dengan sumbangan besar kucing ini kepada bidang sains angkasa.
Tonton video di bawah:
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Ambil Tahu Dot Com
Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik, tauladan dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:
Leave a Reply