Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Bapa dikritik kerana menggunakan tali pengikat pada anak kembar limanya, namun dia tetap dengan pendiriannya
“Kanak-kanak sangat ingin tahu – mereka mahu berlari dan meneroka,” kata Jordan, 31 bapa kepada anak kembar lima. Dia menggunakan tali pengikat untuk memudahkan dia mengawal anak-anaknya ketika mereka keluar bersiar-siar. Mereka sekeluarga selesa apabila keluar bersama-sama dengan menggunakan tali pengikat tersebut kerana bagi mereka, kereta sorong tidak sesuai untuk dibawa lagi-lagi ke tempat yang sesak.
Namun, pendirian keluarga ini tidak disenangi netizen kerana mereka beranggapan kanak-kanak bukanlah haiwan seperti anjing yang perlu diikat apabila hendak bergerak.
Terdapat netizen yang mempertikaikan tindakan Jordan yang mengikat anak-anaknya itu. Mereka mempersoalkan mengapa Jordan tidak melatih sahaja anak-anak tersebut berjalan dekat dengannya. Ada juga netizen yang mengatakan, “jangan ada anak ramai jika anda tidak mampu menguruskannya”.
Walau bagaimanapun, masih ramai lagi netizen yang tidak menolak penggunaan tali pengikat kanak-kanak. Ini termasuklah pakar pembangunan keibubapaan dan belia Dr.Deborak Gilboa, yang meminta orang ramai sepatutnya berfikir dan bertindak sewajarnya mengenai isu ini.
Menurut Gilboa, tindakan memakaikan tali pengikat pada kanak-kanak adalah penyelesaian masalah yang kreatif dan bukanlah bermaksud melayan kanak-kanak seperti haiwan seperti yang netizen lain fikirkan. Jika tidak mengikat anak-anak yang ramai ini, alternatif lain adalah dengan duduk di rumah sahaja.
Tambah Gilboa lagi, tali pengikat tersebut amat membantu ibu bapa yang mempunyai anak sebaya yang ramai yang mana anak-anak tersebut belum lagi mahir berkomunikasi seperti mendengar arahan dan sebagainya.
99.9 peratus ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika anda tidak dapat melihat apakah masalah yang ada, itu tidak bermakna tiada masalah. Hanya orang yang melaluinya sahaja yang faham.
Namun, penggunaan tali pengikat ini harus dihentikan sebaik sahaja usia anak-anak mencapai lapan atau sembilan tahun. “Pada ketika itu, anda perlukan cara lain untuk mengawal anak anda di tempat awam,” kata Gilboa. “Pasti akan berasa janggal jika kanak-kanak berusia lapan tahun masih lagi dipakaikan tali pengikat”, sambung Gilboa lagi.
Walaupun penggunaan tali pengikat ini dilihat dapat membantu ibu bapa mengurus dan mengawal pergerakan anak mereka, bukan semua pakar bersetuju dengannya termasuklah Benjamin Hoffman, pengerusi Majlis Pencegahan Kecederaan di Akademi Pediatrik Amerika.
Menurut Benjamin, mereka tidak mempunyai data mengenai kecederaan yang berkaitan dengan tali pengikat dan mereka juga kekurangan maklumat berkenaan sebab dan faedah ibu bapa menggunakannya. Tetapi, Benjamin secara peribadinya pernah menyaksikan sendiri ibu bapa menarik tali pengikat tersebut secara paksa hingga menyebabkan anak biasanya terjatuh ke belakang. Dia bimbang kerana berdasarkan situasi tersebut, kecederaan pada kepala dan anggota badan anak boleh berlaku.
Sebagai pakar pediatrik, Benjamin tidak mencadangkan penggunaan tali pengikat tersebut pada kanak-kanak. Dia lebih suka melihat kanak-kanak dibawa bersiar-siar dengan menggunakan kereta sorong bayi berbanding tali pengikat. Ini kerana, kecederaan pada leher boleh berlaku akibat daripada penyalahgunaan seperti menarik atau menyeret kanak-kanak tersebut.
Penggunaan tali pengikat dilihat ada kebaikan dan keburukannya. Ini kerana, sebaik-baik kaedah pengawasan anak-anak adalah bergantung pada sikap tanggungjawab orang dewasa itu sendiri.
Menurut Adam Spanier, profesor pediatrik di Sekolah Perubatan Universiti Maryland dan pakar pediatrik di Hospital Kanak-kanak Universiti Maryland, penggunaan tali pengikat adalah “keputusan peribadi ibu bapa”.
“Ini mungkin produk untuk kanak-kanak yang cenderung untuk merayau jika tidak diawasi dengan teliti, untuk kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan dan untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah kawalan impuls,” kata Adam. Namun begitu, dia juga bersetuju dengan pendapat Benjamin dan tidak menolak sebarang bahaya yang mungkin timbul disebabkan penggunaan tali pengikat pada kanak-kanak dengan mengambil kira faktor tekanan psikologi dan umur kanak-kanak tersebut.
Jika ada ibu bapa yang berminat untuk cuba menggunakan tali pengikat pada anak-anak, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan.
- Pilih tali pengikat jenis beg galas berbanding tali yang digunakan untuk mengikat pergelangan tangan kanak-kanak.
- Pastikan ibu bapa memilih saiz yang sesuai dan selesa untuk anak-anak. Periksa arahan yang tertera pada produk untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk tersebut.
- Cari maklumat mengenai produk sebelum ibu bapa memutuskan untuk membelinya. Baca ulasan pelanggan sebelum ini untuk mendapat maklumat tentang keberkesanan produk tersebut.
- Ingat, tali pengikat hanyalah alat untuk mengajar kanak-kanak untuk kekal bersama ibu bapa apabila berada di tempat awam. Alat ini juga mengajar si pengguna untuk kekal tenang agar tidak mencederakan kanak-kanak tanpa sengaja.
- Atas alasan apa sekalipun ibu bapa memilih untuk menggunakan tali pengikat, ia haruslah dibuat selepas mempertimbangkan akibatnya sama ada daripada rakan-rakan atau orang asing. Tetapkan pendirian jika ibu bapa fikir ia adalah cara terbaik untuk mengawasi anak-anak.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Ambil Tahu Dot Com
Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik, tauladan dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:
Leave a Reply