
Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Tampal nota pada kereta, suami mohon maaf kerana memandu secara perlahan maklumkan isterinya baru bersalin czer
Setiap ibu yang hamil mempunyai pengalaman bersalin yang berbeza-beza. Maka tidak adil jika dikatakan bersalin secara normal lebih baik atau lebih mudah daripada czer (caesarean / c-section) atau sebaliknya. Masing-masing menghadapi saat kelahiran itu mengikut kekuatan dan keadaan diri sendiri. Namun, tidak kira bersalin secara normal atau czer, kedua-duanya perlu dijaga dengan sebaik mungkin.
Baru-baru ini tular sebuah video perkongsian daripada papan4kal di TikTok yang menunjukkan sebuah kereta Perodua Axia mempamerkan nota untuk makluman para pengguna jalan raya yang lain.
Nota tersebut dibaca, “Maaf lambat jalan. Isteri saya baru lepas bersalin czer. Terima kasih.”
Apabila terbaca nota tersebut, fahamlah pengguna jalan raya bahawa di dalam kereta tersebut ada ibu yang baru bersalin secara pembedahan. Tindakan sedemikian dapat mengelakkan para pengguna jalan raya berasa berang dengan cara pemanduan yang perlahan.
Selain daripada mengelakkan kesabaran pengguna jalan raya teruji akibat pemanduan yang perlahan, tindakan si suami yang menampal nota tersebut pada kereta itu memperlihatkan dia adalah suami yang prihatin terhadap keperitan yang ditanggung isterinya selepas bersalin secara pembedahan.
Bagi ibu-ibu yang pernah bersalin secara czer pasti turut merasakan betapa peritnya menahan kesakitan selepas bersalin. Jadi, apabila ada suami yang memahami seperti lelaki itu, pasti mendamaikan jiwa dan rasa dihargai.
Namun, disebalik kegembiraan si ibu yang selamat melahirkan bayinya secara pembedahan, ada netizen yang mendakwa sakit bersalin seperti itu kurang sakit daripada bersalin normal. Benarkah dakwaan tersebut?
Benar, ada ibu yang memilih untuk bersalin secara pembedahan namun itu bukanlah alasan untuk mengatakan mereka mengada-ngada atau pun sengaja tidak mahu bersalin secara normal.
Antara sebab seseorang ibu perlu bersalin secara pembedahan ialah:
- Ibu tiada ‘jalan’ untuk bersalin secara normal. Jadi doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk mengelakkan bayi lemas.
- Saiz bayi yang terlalu besar dan tidak boleh melepasi tulang pinggul ibu.
- Bayi berada pada kedudukan songsang.
- Terdapat masalah pada tali pusat bayi.
- Ibu hamil kembar.
- Ibu berpenyakit seperti sakit jantung yang tidak stabil atau darah tinggi yang tidak terkawal.
- Ibu pernah melahirkan secara pembedahan sebelum itu.
- Mengalami masalah berkaitan uri, dimana uri menutup pintu rahim.
Berikut adalah tips penjagaan ibu yang bersalin secara pembedahan:
- Tidak mengangkat barang-barang berat yang memerlukan tenaga dibahagian perut.
- Tidak membongkok ke bawah untuk mengambil barang. Dapatkan bantuan daripada orang lain untuk mengambilkan barang tersebut.
- Gunakan tuala suam untuk mengatasi kekejangan dibahagian perut.
- Menjaga luka dengan sebaik mungkin seperti tidak membalut luka melainkan doktor menyuruhnya dan pastikan luka tersebut bersih dan kering.
- Makan makanan yang mudah dihadam untuk mengelakkan berlakunya sembelit.
- Memakai pakaian yang longgar untuk mengurangkan geselan pakaian pada bahagian luka.
- Rehat secukupnya. Kebiasaannya badan akan sembuh sepenuhnya dalam masa enam minggu.
- Tidak ketawa terlalu kuat, ini mungkin akan memudaratkan luka.
Sama ada ibu bersalin secara normal atau pembedahan, kedua-duanya perlu dijaga dengan rapi. Tiada siapa pun boleh mempertikaikan cara melahirkan yang dipilih oleh ibu kerana pasti mereka sudah pun memikirkan baik buruknya kaedah melahirkan yang dipilih itu.
Apa yang harus dilakukan ialah meraikan kelahiran tersebut dan mendoakan kesejahteraan hidup ibu dan bayi. Jika perlu, bantulah mereka agar proses penyembuhan luka selepas bersalin berjalan dengan lebih lancar. Yang paling penting, jagalah emosi ibu-ibu yang baharu sahaja bersalin. Mereka memerlukan sokongan mental dan fizikal.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Ambil Tahu Dot Com
Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik, tauladan dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:
Leave a Reply